Sunday, December 27, 2009

Peristiwa Penting pada 10 Muharam

10 Muharram
10 Muharram - Dinamakan juga Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.
Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
Hari pertama Allah menciptakan alam.
Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
Hari pertama Allah menurunkan hujan.
Allah menjadikan 'Arasy.
Allah menjadikan Luh Mahfuz.
Allah menjadikan alam.
Allah menjadikan Malaikat Jibril.
Nabi Isa diangkat ke langit
.....DAN SATU LAGI PERISTIWA PENTING YANG BERLAKU PADA 10 MUHARAM DALAM HIDUP NANA IALAH DIRI INI DILAHIRKAN DI MUKA BUMI INI, 41 TAHUN (H) YANG LALU. SYUKUR ALHAMDULILLAH.

Selesai satu Bab



Bila sampai saja masa akhir tahun, ramai guru dah mula sibuk. Alhamdulillah, Nana dan rakan rakan dapat menyiapkan tugasan yang ditetapkan dalam tempoh yang diberi. Walaupun kami berkampung di luar mukim untuk menyiapkannya, namun kepuasan dapat dilihat pada wajah-wajah mereka yang terlibat.

Sunday, December 13, 2009

Suratan atau kebetulan

Dalam perjalanan pulang bercuti hari Jumaat yang lalu, Pok Nik ada menalifon Nana memberitahu berita GEMBIRA yang disampaikan oleh Bang Nasir. Katanya keputusan penyelarasan PTK bulan Ogos yang lalu dahpun keluar dan diterimanya. Apa yang menggembirakan ialah keputusan PTK tersebut telah berubah dari B kepada A. Ini bermakna Abang Nasir telah mendapat keputusan IV untuk kedua-dua kertas. Yang lebih mengembirakan lagi ialah Nana dan Pok Nik juga terlibat dalam peyelarasan keputusan tersebut. Syukur alhamdulillah.... perjuangan kami untuk mendapat keputusan seperti itu dimakbulkan Allah. Tahniah kepada semua. Kepada rakan-rakan kohort IAB, cuba-cubalah risiklah mana tahu tuan/puan juga ada peluang seperti kami.

Natrah : Satu budaya baru





Sambil menyelam, minum air... itulah pepatah yang sesuai Nana ucapkan sempena cuti sekolah kali ini. Di samping merancang program ziarah saudara mara, Nana selitkan juga temu janji dengan Pakar mata untuk puteri Nana. Dalam kesempatan yang ada sempat juga Nana melencong menonton Teater Natrah yang gah di Istana Budaya bersama isteri tercinta. Dua lagi anak Nana, menonton Teater Tun Fatimah pada masa yang sama.Ternyata teater Natrah lebih hebat persembahannya berbanding Mahsuri yang dipentaskan suatu ketika dulu. Padanpun tiket-tiket habis dijual walaupun bilangan malam pertunjukkan ditambah beberapa hari lagi.Pada nana watak Cik Aminah lebih terserlah hebatnya berbanding "Natrah" itu sendiri. Tahniah untuk Umi Aida.

Sunday, November 29, 2009

Kepatuhan makhluk Allah


Cuba kita renung sejenak... Kenapa manusia yang diberi akal dan fikiran yang waras sukar untuk mentaati dan menurut perintah yang maha kuasa. Sedangkan makhluk yang lain selain iblis dan Syaitan sentiasa mentaati sunnatullah.Beruntunglah jika kita menjadi hambaNya yang taat dan sentiasa rela berkorban

Monday, November 23, 2009

Cuti sekolah?

Nampaknya cuti tahun ini lain sikit daripada 2 tahun lalu. Kali ini nampak macam ada banyak masa yang terluang?????. Tapi bila bermula sahaja cuti nampaknya sudah banyak tugas yang tersenarai dan perlu dibereskan. Tugas pertama ialah meraikan sahabat dari Kedah yang berkunjung ke rumah. Tahun ni Nana berhasrat untuk menziarahi sahabat-sahabat yang lama tak jumpa. Pagi tadi dapat panggilan tel dari HUSM mengatakan puteri Nana perlu dirujuk dengan pakar di KL. Tak apalah, boleh juga bawa keluarga ziarah sahabat handai di sana. Esok lusa, hari raya korban. Insyallah Nana sekeluarga berhajat juga untuk ambil bahagian. sambil tu buat juga akikah untuk Puteri "bungsu" Nana.Apa khabar rakan-rakan Kohort 9 IPK?

Tuesday, November 10, 2009

Adakah salah ibu mengandung?

Bila baca berita petang semalam, rasa terkejut juga dengan keberanian pelajar sekolah hari ini. Siapa boleh kata tak berani jika sanggup terjun bangunan tinggi tanpa sebarang peralatan keselamatan.Stanman dan Jackie Chan pun boleh "tabik spring" dengan dua orang pelajar ni. Pening kepala guru hari ni, tak cari budak hilang rasa bersalah, bila dah cari jadi macam ini pula.

Wednesday, September 30, 2009

Ribut luar biasa!!!

Petang semalam sekitar jam 4.00 nana berada di rumah selepas baru pulang dari sekolah. Di luar rumah cuaca nampak mendung. Selepas selesai makan tengahari (petang) mula dengar deruan angin di luar. Bila lihat di luar tingkap, keadaan amat mengejutkan. Kelihatan pohon kelapa bukan lagi melambai-lambai tetapi berputar-putar menahan asakan angin dari pantai.Suasana ketika itu tidak dirasai di dalam rumah, jadi anak-anak semua nampak macam tak kisah sahaja.Walau bagaimanapun sebagai langkah berjaga-jaga, nana arahkan semua mereka masuk ke bilik di hadapan rumah. Semua berkumpul setempat. Tapi tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang agak kuat di atas bumbung rumah. Tak tahu lagi apa punca bunyi tersebut. Cuba siasat juga tak ada apa-apa yang pelik. Kira-kira jam 4.15 azan asar berkumandang. Nana pun seperti biasa ke masjid menunaikan kewajipan. balik dari masjid anak-anak nana buat laporan, kata mereka dapur sudah digenangi air hujan. Apabila di siasat rupanya bunyi dentuman kuat ketika ribut tadi adalah berpunca daripada pelepah kelapa yang muda yang putus diputar angin dan jatuh menerjah atap genting di rumah nana. Pecah juga dua keping atap yang terkena pelepah tersebut. Hari ini bila sampai di sekolah, rupanya bukan rumah nana sahaja yang rosak atap atau bumbung rumah, ramai lagi kekawan yang lebih teruk dari itu. Walau bagaimanapun nana bersyukur kerana semua ahli keluarga Nana selamat.Cuma petang kelmarin penat sikitlah kena bersihkan air hujan yang membasahi ruang dapur di rumah.Semalam dah bincang dengan tukang rumah untuk baiki atap yang pecah tersebut. Dia pun tengah pening kepala sebab ramai sangat yang menalifonnya sejak petang lagi untuk membaiki rumah yang rosak. Tak tahulah jadi ke tak jadi petang ni nak baiki kerosakan tersebut.

Sunday, September 27, 2009

Jejak kasih


Setelah hampir 13 tahun terpisah pada hari lebaran yang mulia ini kami sekali lagi dipertemukan. Walaupun masing-masing sudah bekeluarga tapi kemesraan dan keriangan bertemu masih macam dulu-dulu. Yang berbeza cuma saiz sahaja. kalau dulu mungkin saiz M, kini XXL. Itu semua tak menjadi hal, asalkan keakhrapan masih sepertu dulu. sesungguhnya Syawal kali ini telah mempertemukan nana dengan rakan-rakan seperjuangan semasa di USM dahulu. Rupanya dah lama tinggalkan bumi USM, sedar tak sedar lebih 15 tahun berlalu. Tapi kemesraan kami masih seperti dahulu.

Wednesday, September 2, 2009

Nikmat merdeka 52 tahun atau.......




Cuti penggal yang lalu,saya sempat menjengah rumah di kampung di Sg. Dua Seberang Perai. Apa yang berbeza pada kepulangan kali ini ialah panorama di depan rumah sudah berbeza.Kalau dula untuk masuk ke tempat pakir kereta tiadak ada jalan berturap, kini sudah berubah.Mengikut maklumat, jalan yang dibina ini bukan diminta oleh sesiapapun penghuni rumah kami. Tapi inilah yang dikata rahmat jika diperintah oleh 2 kerajaan dalam satu negeri.



Tidak semena-mena, entah siapa yang berbisik atau.... kepada JKKP di situ, tiba-tiba mereka datang ke rumah memohon kepada bonda untuk membina jalan di tanah keluarga kami untuk kemudahan kami sekeluarga.Pelik kan?. Kalau di negeri negeri yang diperintah oleh...... masih banyak jalan belum berturap, tapi di PP, bukan rizab jalanpun mereka turap. Bayangkan berapa kos untuk membina jalan hampir 50 meter panjangnya. Apakah ini nikmat kemerdekaan 52 th atau nikmat diperintah oleh kerajaan yang tidak sealiran dengan persekutuan. Cuba anda fikirkan.

Thursday, August 13, 2009

Wanita di sebalik kejayaan seorang lelaki.....


11 Ogos 2009 hari bersejarah buat diri ini. Pada hari itu kami graduan Sarjana Kepengetuaan dianugerahkan Sarjana masing-masing. Bagi diri ini amat bersyukur kerana sepanjang belajar sepenuh masa selama 2 tahun ini insan-insan tersayang sangat memahami dan membantu dengan sepenuhnya. Pengorbanan mereka amat besar kepada kejayaan ini. Tiga wajah ini amat besar pengorbanan mereka. Semoga Allah memberi ganjaran yang besar kepada mereka baik di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Monday, July 20, 2009

Khazanah yang tersembunyi




Tidak ramai rakyat Malaysia yang sedar bahawa negara kita mempunyai khazanah alam yang tinggi nilainya. Baru-baru ini, kami warga SMTB telah berkesempatan menikmati sebahagian daripada khazanah alam yang indah tersebut. Bagi sesiapa yang tinggal di Kuala Kerai, tentu nama Gua Ikan tak asing buat mereka. Di situ terdapat beberapa gua yang cantik dan patut dilawati. Antara gua yang mencabar ialah Gua Gelab. Ruang masuk ke gua ini bukan sahaja gelap gelita malah sangat sempit. Hanya mereka yang sedang-sedang sahaja yang mampu melalui ruang yg sempit ini. Khazanah dalam gua ini sangat cantik dan ada kawasan yang dihiasi dengan batu-batu kristal yang bersinar cantik. Kepada pembaca yang berkesempatan ke Gua Ikan dan Gua-gua di sekitarnya.. tentu dapat menikmati keindahan ini. Jom kita ke sana..

Saturday, July 4, 2009

Hari pertama persekolahan

Semasa melapor diri pada 2 Julai yang lalu, diminta bertugas ke Kuala Berang, hari ini hari pertama persekolahan. Berselisih dengan tuan pengetua di depan pejabat. Sambil bertanya khabar dia ucapkan tahniah kerana berjaya menyelesaikan pengajian selama 2 tahun ini. Sambil tu sempat bertanya juga apakah tugas yang akan diberikan kepada saya kali ini. Sampai saat catatan ini ditulis, masih belum ada kata putus. jadi sempatlah menyusun semula tesis yang nak dikirim kepada Nasir nanti. Mungkin esok baru ada jadual. itupun jika mereka sedar yang diri ini sudah kembali ke SMT Besut. Tahniah juga kepada rakan-rakan yang dah tahu sekolah masing-masing. berkhidmatlah sebaik mungkin, Harapan menggunung diletakkan di bahu anda.

Thursday, July 2, 2009

Bertugas semula

Hari ini tak seperti hari-hari sebelum ini. Pagi-pagi lagi dh bersiap ke sekolah. Sepatutnya lapor diri pada 3 Julai. Oleh kerana di terengganu hari esok cuti, jadi kenalah lapor diri awal sehari. Rakan-rakan yang lain ramai yang ke JPN masing-masing tapi aku ke sekolah yang telah ditetapkan. Semalam seharian di Kementerian dan JPTek. Nasib baik dapat sekolah yang sama. Alhamdulillah.

Selepas lapor diri PK1 terus minta tolong jalankan tugas pertama, kebetulan rakan yang sepatutnya menjalankan tugas tersebut ada hal yang lain yang juga penting untuk dunia pendidikan kita. Tanpa banyak soal, aku terima tugas tersebut. Kena ke Kuala Berang, jadi hakim bahas ala parlimen peringkat negeri. jam 12 kena ada di sana.

Bila bertolak ke sana jarak lebih kurang 130 Km, sampai tepat jam 12. Tinjau kawasan sekolah lokasi pertandingan diadakan. Aku lihat ada satu majlis sedang berlangsung di dewan besar. Ada 2/3 orang guru berbual di luar. Aku terus sapa mereka dan bertanyakan di mana nak lapor diri untuk bertugas sebagai hakim bahas. Masing-masing tak tahu, tapi mereka maklumkan pertandingan akan berlangsung Jam 4 petang. mereka minta aku rujuk di bilik urusetia di pejabat asrama untuk dapatkan maklumat lanjut. Bila aku dengar pertandingan mula jam 4 petang, aku pun tanyalah tapi kenapa kami diminta lapor diri jam 12 pm. Kan kah terlalu awal.Mereka tak tahu nak jawab. Tak apalah aku cakap, saya keluar dulu nanti jam 2 ptg saya datang semula. masa nilah akau ambil peluang makan tengahari di Restoren Selera kampung yang Abu belanja geng kenyir dulu. Makan tengahari yang menyelerakan, masak lemak cili api ikan baung, toman goreng berlada, kerabu pucuk paku dan ulaman kampung dan Nescafe ais. memang sedap. Harga pada aku murah, dibandingkan dengan setengah-setengah tempat hentian rehat sepanjang perjalanan ke KL. Baru RM6 untuk semua itu.
Lepas makan aku terus ke masjid besar Kuala Berang, solat zohor. selesai solat aku ke sekolah sekali lagi. kali ini aku terus ke bilik urusetia di asrama sekolah. Bila sampai di sana tak ada pegawai yang bertanggungjawab. yang ada cuma pembantu asrama. Aku cuba tanya ada tak jadual pertandingan bahas, dia kata ada jadual lalu diserahkan senaskah kertas untuk aku teliti. Aku lihat sehelai-demi sehelai... tak ada pun aturcara bahas, ini jadual bolasepak.

Dia cari lagi, kali ini mungkin betul katanya. Akupun ambil. Ya, betul atur cara Bahas. Aku lihat bila bermula... jam 3.30 petang. Ok. Siapa hakim yang terlibat..... satu persatu nama aku baca .... eh tak adapun nama kami... untuk bertugas hari ini. Esok awal pagi baru ada.Jam 8.30 pagi. Nasib badanlah macam ni. Kena balik.

Aku terfikir dalam hati.... beginikah teruknya pengurusan program Kokurikulum peringkat negeri. Tak ada perancangan langsung. Sudahlah surat tak ada maklumat lengkap, yang ada tarikh, masa dan tempat lapor diri sahaja. Pegawai yang bertanggungjawabpun tidak berada di lokasi yang sepatutnya beliau berada untuk melicinkan acara yang besar sebegini. Nasib badanlah ... akupun apa lagi.... hidupkan enjin kereta... terus balik. Esok insyaallah aku datang lagi untuk bertugas. Nampaknya Jam 6.30 kena bertolak jika nak sampai sebelum jam 8.30 am.

Tuesday, June 23, 2009

Kenapa Ubat Gigi Berflorida Berbahaya

APA ITU FLUORIDA?
Fluorida merupakan sisa keluaran industri baja, sejenis racun tikus dan digunakan dalam sektor industri sebagai racun serangga untuk menghapuskan semut dan lipas. Fluorida merupakan racun tersembunyi (seperti sianida) yang memudaratkan, bertoksik dan mampu berkumpul sungguhpun hanya sedikit ditelan.
MENGAPA FLUORIDA BERBAHAYA?
Pentadbiran Makanan & Ubatan Amerika (FDA) menganggap fluorida sebagai "ubat baru yang tidak diluluskan" kerana tidak ada bukti mengenai keselamatan mahupun keberkesanannya.
Sesetengah kumpulan berkepentingan awam seperti Akademi Antarabangsa Bagi Ubatan, Makanan & Toksikologi (pertubuhan bukan kerajaan Kanada yang membiayai penyelidikan mengenai bahan bertoksik yang digunakan dalam pergigian) telah mengkelaskan fluorida sebagai "ubat untuk pergigian yang tidak diluluskan" disebabkan kadar keracunannya tinggi.
Satu tinjauan yang dijalankan pada tahun 1997 dengan bantuan pengeluar ubat gigi dan Persatuan Pergigian Amerika Syarikat mendapati purata orang yang memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida walaupun sedikit (1 gram) mengikut sukatan yang disarankan, menelan antara 0.3-0.4 mg fluorida setiap kali memberus gigi.
Ini bermakna anda menerima hampir separuh daripada kadar harian fluorida yang diterima cuma dengan memberus sekali sehari, tanpa membabitkan sumber lain.
MENGAPA KITA TIDAK MEMERLUKAN FLUORIDA PADA UBAT GIGI?
Dos fluorida harian yang diterima melalui pemakanan sudah mencukupi keperluan seseorang. Pihak berkuasa di Malaysia telah menambahkan fluorida kedalam sistem bekalan pengairan dan oleh sebab yang demikian, setiap titis air dalam bentuk teh, kopi, minuman berais dan sebagainya menyumbang kepada penambahan fluorida sedia ada. Makanan harian seperti sayuran juga terdedah kepada fluorida melalui racun serangga dan lain-lain. Fluorida juga terdapat pada tulang ikan seperti ikan bilis dan sardin. Sebagai rumusan, makanan lazim harian telah membekalkan sumber fluorida yang mencukupi untuk keperluan kita. Oleh sebab yang demikian, kita tidak lagi memerlukan tambahan fluorida melalui ubat gigi atau ubat kumur dan ini akan mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan seseorang itu.
KES MAHKAMAH
Kesan-kesan buruk fluorida pada masa lalu pernah dibawa ke mahkamah. Apa yang dipercayai merupakan yang pertama. Colgate-Palmolive membayar pampasan sebanyak £1,000 (kini dianggarkan kira-kira RM 6,000) kepada keluarga seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di Essex, England yang menderitai masalah "Dental Fluorosis" (enamel kotor dan berkarat), iaitu antara tanda pertama keracunan fluorida.
PENYELIDIKAN AWAM
Penyelidikan yang dijalankan pada pertengahan tahun 90-an oleh bekas ketua bahagian kimia Institut Penyelidikan Kanser Kebangsaan Amerika, mendapati kira-kira 10,000 kematian akibat kanser yang dikaitkan dengan penggunaan fluorida berlaku setiap tahun di Amerika Syarikat.
Penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat bagi Program Toksikologi Kebangsaan (NTP) pada tahun 1990-1991 menunjukkan kecenderungan peningkatan dalam osteosarkoma (salah satu kanser peringkat awal yang menyerang kanak-kanak) dalam tikus jantan yang diberikan fluorida. Menurut NTP, fluorida berkemungkinan bahan penyebab kanser kepada manusia."
AMARAN & PANDUAN
Pada tahun 1997, FDA telah menetapkan setiap Ubat gigi berfluorida yang dijual di Amerika Syarikat perlu meletakkan tanda amaran racun/bahaya:

"WARNING: KEEP OUT OF REACH OF CHILDREN UNDER 6 YEARS OF AGE. IF YOU ACCIDENTALLY SWALLOW MORE THAN USED FOR BRUSHING, SEEK PROFESSIONAL HELP OR CONTACT A POISON CONTROL CENTER IMMEDIATELY."
/
“AMARAN: JAUHKAN DARI KANAK-KANAK BERUMUR 6 TAHUN KEBAWAH, SEKIRANYA TERTELAN MELEBIHI DOS YANG DITETAPKAN, SILA DAPATKAN RAWATAN PAKAR ATAU HUBUNGI PUSAT KAWALAN RACUN DENGAN SEGERA”

Sunday, June 21, 2009

HADIAH HARI BAPA

Semua insan yang bergelar bapa pada hari ini menyambutnya dengan gembira. Hari ini adalah hari yang amat istimewa buat diri ini, kerana dikurniakan seorang lagi puteri yang akan menyerikan lagi teratak kami. Hadiah yang amat istimewa dariNya kepada kami. Syukur alhamdulillah, jam 4.20 petang isteri tercinta selamat melahirkan puteri ketujuh kami. Semua kakaknya tak sabar menanti ahli baru dalam keluarga. Syukur alhamdulillah.

Tuesday, June 9, 2009

Kita merancang Tuhan juga merancang.....

Pagi tadi, semua sudah disiapkan untuk berangkat ke KL, untuk habiskan bab 4 dan 5. Sebagaimana dijanjikan minggu lepas, Jumaat ni kena serahkan bab 4 dan bincang Bab 5 dengan penyelia. Beg, printer semua dah di masukkan dalam but kereta. Perjalanan asal jam 10 pagi, tapi ditangguhkan kerana ada jiran yang menjemput untuk solat hajat di rumahnya pada jam 11. Bila difikirkan hajat tersebut, perancangan untuk bertolak awal ditangguhkan, penuhi dulu jemputan jiran. nak bertolak awal tu bukannya apa, sebab minggu lepas jalan KL- ke KB sesak teruk. macam balik raya yg lalu. jadi kalau bertolak awal, mungkin boleh sampai awal sikit. Selesai soalat hajat tentu ada makan, lepas makan singgah ambil anak kat sekolah pula. Jam dah 12.30 tgh. Selepas bersiap dan nak bertolak terlihat ada mesej dalam tel. Bila baca rupanya perjumpaan hari jumaat ni ditangguhkan. Syukur belum bertolak lagi. Jadi bolehlah tunggu isteri kat rumah... mana tahu sehari dua lagi kami akan dapat orang baru. maaf la nik, tak dapat ke Cyberjaya macam kita janji.

Friday, June 5, 2009

Bab 4 punya cerita

Pagi tadi hampir 2 jam kena "basuh" dengan penyelia bila bentang bab 4. kalau kumpulan lain berbincang dengan penyelia, kami buat lengkap2, lepas tu bentang, tengok sama-sama dengan penyelia, Abu dan Yen. Yang itu tak konsisten, yang ini kena didahulukan, ayat ini tidak tepat. Rajah ni kena letak di depan, penerangan tentang rajah dan jadual perlu jelas dan bla...bla... bla.... Banyak yang kami belajar. Balik malam ni kena rehat dulu. Insyaallah esok buka balik bab 4 dan baiki mana yang patut. Lepas ni kena siapkan bab 5 pula. nampaknya kena berkampung lagi di perpustakaan minggu depan. Kalau tak buat macam tu... alamat tak siap bab 5 nanti. Minggu depan macam biasa Hari Jumaat kami berjumpa di Bilik Seminar 2 dari jam 10.00 hingga 1. kali ni harap Abu atau Yen jadi pembentang utama. kalau kena sekali lagi sebagai pembentang utama.... alamat.......Tapi tak mengapa semua itu untuk kebaikan bersama. Semangat mesti kuat nak habiskan projek ni.

Wednesday, June 3, 2009

Terkilan....

mendengar dan membaca berita majlis di IPS semalam, memang terdetik rasa terkilan di hati kerana tidak dapat turut serta dengan rakan-rakan. hajat hati memang nak bersama join geng rojak buah, tapi apa kan daya... tanggungjawab di rumah perlu diutamakan. Pengorbanan seorang isteri perlu dihargai. dalam masa yang sama ada keluarga angkat dari jauh yang singgah di rumah pada hari itu. Jadi pilihan dan pengorbanan perlu dibuat, antara rojak buah atau memberi tumpuan kepada Isteri yang sedang membilang hari untuk menerima ahli keluarga kami yang baru. dalam masa yang sama, keluarga angkat dari Sik datang berkunjung kerumah.... mengeratkan lagi silaturrahim. Walau bagaimanapun.. saya bersyukur kerana geng rojak buah telah berjaya "melangsaikan" semua barangan jualan. tahniah. Ada satu cerita menarik yg dibawa keluarga angkat. nanti jika kelapangan akan saya ceritakan di sini. ia baik untuk kita sebagai umat yg bersyukur dan istiqamah dalam membuat kebajikan walaupun kebajikan tersebut tidak seberapa pada pandangan insan lain... tapi disisiNya... balasan yang berlipat kali ganda.

Saturday, May 30, 2009

Tahniah kepada semua

Sejak 28 mei lalu ramai rakan-rakan di IAB bergumbira kerana merayakan hari anugerah sijil dan diploma NPQH. Yang lebih menggembirakan ialah apabila diploma ini mendapat penarafan PTK. Tentu rakan-rakan seperti NIk, Nasir dan seumpamanya rasa berbaloi sebab keputusan ini boleh melengkapkan PTK yang lalu. Kegembiraan kita semakin berpanjangan apabila pada 29 Mei semalam keputusan peperiksaan semester 2 dah dikeluarkan. Ramai rakan-rakan berjaya menaikkan cgpa masing-masing. Tahniah. Itulah keberkatan bekerja sama dan berkongsi ilmu. Seperti kata Saidina Ali " Ilmu jika kita memberikannya kepada orang, ia semakin bertambah bukannya semakin berkurang". Betullah kata pepatah Melayu, maufakat membawa berkat. Ingat pesan ini. jadi jangan kedekut ilmu tau. Kongsi-kongsilah bersama terutama sepanjang semester khas ini. Tahniah kepada semua. dan terima kasih kepada semua maha guru yang membimbing kita di IPK dan di IAB jasa dan pengorbanan kalian ada ganjarannya di sana.

Monday, May 11, 2009

Allah bersama orang yang sabar

Sesungguhnya memang benar janji di dalam Al Quran bahawa Allah bersama orang yang sabar. Semalam 11 Mei 2009 Mahkamah telah membuat keputusan. Semua orang dah tahu siapa yang halal dan siapa yang haram. Jika kita bermula dengan cara tidak betul... natijahnya juga akan tidak betul. Sukar diterima dalam dunia ini yang yang bermula secara tidak betul akan menjadi betul di akhirnya. Analoginya mudah: Sekiranya sepasang kekasih yang bermadu kasih dan akhirnya melahirkan benih cinta tanpa ikatan yang sah,akan menjadikan anak tersebut sebagai anak yang tidak sah kepada "bapanya" sampai bila-bila meskipun lelaki yang bermadu kasih tersebut berkahwin dengan ibu anak tersebut selepas kelahirannya. Begitu juga dengan apa yang berlaku di Perak. jika di awal perjalanan lagi jalannya sudah tidak betul.... bagaimana kesannya kepada tindakan-tindakan yang seterusnnya yang mereka ambil... Cuba fikirkan.

Monday, April 27, 2009

Sedar tak sedar

Suatu ketika dulu, suku tahun ketiga 2007 kita mula jejak kaki di IAB, jadi peserta kursus NPQH. Hampir setahun lamanya kita menjadi peserta kursus. 6 bulan berada di puncak kayangan. 5 bulan lagi di dataran, mengaplikasikan segala ilmu semasa bertapa di puncak. Kini sedar tak sedar kita dah hampir tamat berguru. Hari rabu nanti, insyaallah kita akan duduki ujian akhir kita sebelum bertebaran semula ke daerah masing-masing untuk menngamalkan ilmu yang dituntut selama hampir dua tahun. Bagaimana sekolah kita nanti. bagaimana penerimaan rakan-rakan kita dahulu. Masihkah kita berkesempatan mencurahkan bakti di tempat yang sama sebagaimana kita mula dahulu. Kita tunggu masanya. Yang pasti ilmu yang ditiuntut di dua pusat ilmuan ini wajar disemat di dada dan digunakannya untuk kebaikan anak bangsa yang dahagakan perubahan dan angin baru. Ingat, cabaran hari ini tak sama sebagaimana 2 tahun yang lalu. Masa telah merubah segalanya.

Saturday, April 11, 2009

Minggu di Rumah

Sedar tak sedar kohort 9, 2008/2009 dah pun tamat pengajian semester kedua. Sekarang kononnya minggu ulangkaji. Tapi saya rasa ramai dalam kalangan kita lebih sesuai dikatakan minggu di rumah. Kerana sebelum ini sering kesesakan di jalan raya ke kelas, tapi minggu ini kita berpeluang belajar di rumah. Semoga semua pelajar kohort 9 dapat menggunakan masa berharga ini dengan sebaik mungkin. Selamat Maju Jaya.

Wednesday, April 8, 2009

Adakalanya kejelikitan sangat sukar dibentuk

Hari ini ada dua majlis yang lain dari yang lain seperti hari-hari sebelum ini. Pertamanya jamuan kesyukuran dan satu lagi taklimat daripada agen pelancungan yang dipilih untuk menguruskan lawatan ke Jogja bulan depan, insyaallah. Majlis kesyukuran yang dijalankan nampak indah bukan saja kerana enaknya makanan tapi yang lebih manis ialah eratnya hubungan antara para pensyarah dengan pelajarnya. Semua pensyarah dan staf hadir meraikan jemputan walaupun mereka sibuk. Tapi kenapa ya ada antara rakan-rakan kita yang tidak tahu untuk meraikan program yang dianjurkan dalam kohort dan yang telah dipersetujui bersama. Adakah kerana kita masih belum akrab, atau lebih mementingkan perkara-perkara lain.....Fikirlah sejenak.

Tuesday, April 7, 2009

Pengundi di Dua Bukit dah tunjukkan kehendak mereka....

Setakat berita ini ditulis, pengundi di dua bukit masih setia dengan PR. Mereka bukan sahaja mengekalkan parti yang sedia ada malah menunjukkan sokongan yang jelas. PM baru kita kena fikir sedalam-dalamnya bagaimana untuk mengambil hati rakyat yang kini semakin matang dan tidak mudah digula-gulakan dengan projek "mee segera". Bukalah lembaran baru...., hulurka tangan, jalinkan perpaduan kepada semua dengan hati dan perasan persaudaraan yang terbuka. Jangan segan membuang nilai-nilai lama yang sudah dimakan anai-anai, yang sudah tidak sesuai dengan budaya politik hari ini. Bukankah PM itu untuk semua dan bukannya untuk kelompok sesetengah mereka sahaja.

Monday, April 6, 2009

Hari Penting Buat Demokrasi

Pengundi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dan Batang Ai berpeluang menunjukkan kecenderungan masing-masing pada hari ini di kertas undi. Rakyat bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia sedang memerhatikan kecenderungan mereka. Ingatlah tuan-tuan boleh mencipta sejarah baru. Walaupun hanya menanda di kertas, tapi secebis tandaan anda boleh mula merubah dunia.....

Thursday, April 2, 2009

Hari ini belajar buat blog

En. Azhan ajar kami....
Selamat Datang..... Nana Tanjung