Wednesday, July 7, 2010

Lama benar tak menulis...

Hampir dua bulan blog ini dibiarkan. Selepas posting terakhir, masa lebih banyak diisi dengan tugasan dan memantau kesihatan diri dan anak-anak. Cuti sekolah, walaupun dua minggu, penuh dengan program yang dirancang dan tak dirancang. Walau bagaimanapun hari ini agak kelapangan sedikit. Cuba menulis kembali. Kepada diri ini; jagalah kesihatan. Hargailah ia. Gunakan sebaik mungkin.

Monday, May 3, 2010

Adakah Aku Ketinggalan....

Hari Jumaat lepas, Nana ada membaca catatan Dr Maza, berkenaan filem-filem berunsur Islam dari negara jiran. Nana tertarik untuk menontonnya. Satu-persatu filem yang dinyatakan dalam tulisan beliau Nana telah luangkan masa menontonnya. Yang pasti filem-filem tersebut memang hebat, lebih hebat dari Bukit Kepung dan filem-filem hebat di negara kita sekarang ini.Yang ingin Nana kongsi dengan rakan-rakan ialah salah satu filem yang dinyatakan itu iaitu filem Laskar Pelangi. Filem ini pernah diceritakan oleh Nazrenns (lama benar tak berblog)kepada Nana dalam kelas suatu ketika dulu.Tapi pada masa itu Nana tidak berapa kisah tentangnya. Jadi semalam apabila Nana berkesempatan menonton filem ini, rupanya filem ini penuh dengan nilai. Sarat dengan pengajaran yang amat sesuai untuk ditonton oleh semua golongan. Lebi-lebih lagi sempena Hari Guru minggu depan. Dalam filem ini setiap baris dialog dan lakonannya penuh nilai dan pengajaran kepada penonton yang pelbagai latar belakang.Tontonlah..... amat rugi jika tidak menontonnya.

Wednesday, April 21, 2010

Bila sudah akhir zaman.....

Sejak kematian ahli parlimen Ulu Selangor, ramai bloger politik berkempen untuk memenangkan parti masing-masing.Apa yang nana kesalkan ialah sikap dan adab ketika berkempen. Mereka tanpa segan silu menelanjangkan musuh masing-masing. Kalau begini gerak laku kita bermakna kita sebenarnya mengundang kemurkaan Tuhan. Sewajarnya kita meneliti kisah ini sebelum kita membuka aib orang lain:

Pada zaman Nabi Musa AS, bani Israel ditimpa musim kemarau yang berkepanjangan. Mereka pun berkumpul mendatangi Nabi mereka. Mereka berkata, “Ya Kaliimallah, berdoalah kepada Rabbmu agar Dia menurunkan hujan kepada kami.” Maka berangkatlah Musa AS bersama kaumnya menuju padang pasir yang luas. Waktu itu mereka berjumlah lebih dari 70 ribu orang. Mulailah mereka berdoa dengan keadaan yang lusuh dan penuh debu, haus dan lapar.
Nabi Musa berdoa, “Ilaahi! Asqinaa ghaitsak…. Wansyur `alaina rahmatak… warhamnaa bil athfaal ar rudhdha’… wal bahaaim ar rutta’… wal masyaayikh ar rukka’…..”
Setelah itu langit tetap saja terang benderang, matahari pun bersinar makin kemilau. (maksudnya segumpal awan pun tak jua muncul).
Kemudian Nabi Musa berdoa lagi, “Ilaahi … asqinaa….”
Allah pun berfirman kepada Musa, “Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kalian sedangkan di antara kalian ada seorang hamba yang bermaksiat sejak 40 tahun yang lalu. Umumkanlah di hadapan manusia agar dia berdiri di hadapan kalian semua. Karena dialah, Aku tidak menurunkan hujan untuk kalian.”
Maka Musa pun berteriak di tengah-tengah kaumnya, “Wahai hamba yang bermaksiat kepada Allah sejak 40 tahun, keluarlah ke hadapan kami, karena engkaulah hujan tak kunjung turun.”

Seorang laki-laki menjeling ke kanan dan kiri, maka tak seorang pun yang keluar di hadapan manusia, saat itu pula ia sedar kalau dirinyalah yang dimaksud.
Ia berkata dalam hatinya, “Kalau aku keluar ke hadapan manusia, maka akan terbuka rahsiaku. Kalau aku tidak berterus terang, maka hujan pun tak akan turun.”
Maka hatinya pun gundah gulana, air matanya pun menitis, menyesali perbuatan maksiatnya, sambil berkata , “Ya Allah, Aku telah bermaksiat kepadamu selama 40 tahun, selama itu pula Engkau menutupi `aibku. Sungguh sekarang aku bertaubat kepada Mu, maka terimalah taubatku.”
Tak lama setelah pengakuan taubatnya tersebut, maka awan-awan tebal pun bermunculan, semakin lama semakin tebal menghitam, dan akhirnya turunlah hujan.
Musa pun keheranan, “Ya Allah, Engkau telah turunkan hujan kepada kami, namun tak seorang pun yang keluar di hadapan manusia.” Allah berfirman, “Aku menurunkan hujan kepada kalian oleh sebab hamba yang kerananya hujan tak kunjung turun.”
Musa berkata, “Ya Allah, Tunjukkan padaku hamba yang taat itu.”
Allah berfirman, “Ya Musa, Aku tidak membuka aibnya padahal ia bermaksiat kepada-Ku, apakah Aku membuka aibnya sedangkan ia taat kepada-Ku?!”
***
(Kisah ini dikutip dari buku berjudul “Fii Bathni al-Huut” oleh Syaikh DR. Muhammad Al `Ariifi, hal. 42)

Monday, April 19, 2010

Pemandangan "biasa" pada Jam 2.40pm di sebuah sekolah.



Inilah suasana yang boleh dilihat di sekolah-sekolah tertentu pada waktu petang. Asyik sekali mereka melayan... mimpi.

Sunday, April 18, 2010

Beringat sebelum kena...

Hari ini insyaallah, sahabat saya PKHem akan menjalani pemeriksaan/pembedahan di IJN. Rasanya semua rakyat Malaysia tahu apa penyakitnya jika berubat di tempat ini. Bila dikenangkan kembali apa puncanya sahabat ini berada di sini, katanya ialah makan dan rokok.Dua punca ini penyebab utamanya. Jadi kepada sesiapa yang belum kena, beringatlah, Jangan Merokok.Makan tu jaga-jaga sikit, jangan ikut nafsu semata-mata.

Saturday, March 6, 2010

Cepat sungguh masa berlalu.....


Diam tak tiam... sudah setahun masa berlalu. Setahun lalu pada hari ini ramai perjuang dan pencinta bahasa menunjukkan rasa hati masing-masing tentang cintanya mereka pada Bahasa Melayu. Pada hari inilah nana dan tiga saudara yang lain bersama-sama ribuan rakyat Malaysia yang cintakan bahasanya bersama-sama berkumpul di masjid Negara untuk menyatakan sikap masing-masaing terhadap bahasanya. Pada hari inilah baru nana dapat rasakan betapa "nikmatnya" asap gas pemedih mata yang rupanya secantik dan senyaman awan apabila melintasi kehijauan Genting suatu ketika dulu.... Masihkah kau ingat saudara-saudaraku....

Friday, February 19, 2010

Kuman di seberang laut, nampak tetapi gajah di depan mata ........

Satu tamparan hebat bagi umat Melayu Islam yang bersungguh-sungguh memarahi KM P.Pinang berhubung perarakan Majlis Maulidul rasul. Berbagai kata nista dilemparkan hingga sanggup mencabar beliau mendedahkan minit mesyuarat exco yang sulit itu. Tapi hari ini bila 3 lagi negeri di bawah pimpinan Melayu Islam separti dengan mereka membuat keputusan yang sama.... terkelu lidah mereka agaknya. Setakat posting ini belum dengar lagi gegak gempita "pejuang" agama Melayu Islam ini membantah hasrat kerajaan Pahang, Johor dan Perlis itu. Inilah pejuang hipokrit sebenarnya. Perjuangan berdasarkan asobiah...Perjuangan sebegini adalah perjuangan yang sia-sia. Rugi dan sia-sia sahaja akal dan kesihatan yang Allah kurniakan kepada mereka. Kepada diri ini, Insaflah....kita semua akhirnya akan mati dan dipersoalkan segala nikmat dan apa yang kita kerjakan.

Wednesday, February 17, 2010

Biar mati anak, jangan mati adat.

Jangan terkejut dengan tajuk kali ini. Nukilan kali ini bukan untuk menyokong atau menyanggah sesiapa. Tajuk kali ini hanya ingin mengambarkan sikap orang Melayu pada adatnya. Mereka amat kuat berpegang pada adat hinggakan ada kalanya tidak tahu mana satu syariat mana satu maksiat, mana satu harus mana satu wajib, mana satu sunat mana satu adat. Sebenarnya umat Islam Melayu, ramai yang telah hilang fokus. Apabila kerajaan PP berhasrat menganjurkan Majlis maulud nabi tanpa disertakan acara perarakkan, ramai Melayu Islam di Malaysia yang membantah dengan bersungguh-sungguh. Bantahan dan perasaan tidak berpuas hati ini bukan sahaja diluahkan oleh mereka yang bukan dalam aliran agama sahaja, malah ada dalam kalangan yang berstatus muftipun sanggup terjerat dalam isu ini. Saya mengatakan bahawa ramai Melayu islam di negara kita telah hilang fokus kerana perkara perarakan ini hanyalah perkara yang harus sahaja. Dalam erti kata lain nak buatpun tidak mengapa, jika tidak dianjurkanpun tidak mengapa. Tidak menjadi sebarang kesalahan atau mendapat dosa bagi mereka yang tidak berarak apabila menyambut majlis Maulidul rasul.Tetapi perarakan itu mungkin boleh menjadi haram jika ia melibatkan unsur-unsur maksiat seperti pembaziran dan menyusahkan pelbagai pihak yang tidak terlibat dengan perarakan tersebut. Satu persoalan yang nana fikirkan ialah, kenapa golongan Melayu Islam yang bersungguh-sungguh membantah hasrat kerajaan PP ini tidak pula menunjukkan riaksi dan sikap yang sama apabila ada pihak yang ingin menghalang kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Hudud di negeri mereka. Malah lebih malang lagi ramai dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dalam agama sanggup mencari berbagai dalih untuk menyokong tindakan menghalang hasrat kerajaan Kelantan itu. Bukankah hal hudut ini merupakan perkara "wajib". Tidak ada dalil yang mengatakan hudut merupakan perkara harus yang jika tidak dilaksanakan adalah tidak menjadi satu dosa atau tanggungjawab mana-mana pihak. Nampaknya sekali lagi orang Melayu Islam di negara kita tertipu dengan sikap sesetengah pihak yang mengalih perhatian mereka kepada hal yang tidak penting seperti perarakkan ini. Sepatutnya cerdik pandai agama dan pemimpin masyarakat wajar membawa umat Islam di Malaysia kepada perkara yang lebih penting daripada isu berarak. Nampaknya memang betullah kata pepatah Melayu di atas, orang Melayu lebih sayangkan adat mereka berbanding anak mereka sendiri. Malang sungguh nasib Melayu sebegini. Tidak tahu mana satu yang perlu diutamakan.

Friday, February 12, 2010

Ketam mengajar anaknya berjalan betul




Sehari dua ini jiwa Nana kurang tenteram. Arahan diterima supaya hadir satu majlis yang akan dihadiri oleh YAB Tan Sri Tim. Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran. Program Juara Rakyat. Perkara yang membuatkan jiwa Nana tidak tenteram dan rasa nak marah ialah kenapa kementerian sudah menjadi kuda tunggangan kepada Parti politik.Kenapa begitu mudah menjadi orang suruhan parti politik. Dari pegawai tertinggi peringkat kementerian hinggakan pegawai di peringkat PPD semua diperkudakan. Yang menjadi mangsa ialah guru-guru. Bukankah perkeliling kementerian sendiri jelas menyatakan bahawa pegawai-pegawai kumpulan A tidak boleh terlibat dengan politik?. Tetapi kenapakan guru-guru dipaksa hadir ke majlis politik, Meskipun bertopengkan majlis kementerian?. Jika benar program ini merupakan program anjuran kementerian, kenapa pula dalam program terdapat nyanyian lagu parti politik?. Pening Nana dibuatnya, kerana yang hadir pula bukan calang-calang orang KPPM juga telah diperkudakan atau sebenarnya mereka sudah menjadi seperti "KETAM MENGAJAR ANAKNYA BERJALAN BETUL"

Monday, February 1, 2010

Bila si ibu melahirkan tuannya....

Hari ini pendaftaran ambilan kedua berlangsung di dewan besar SMTB. Nana ditugaskan untuk mengepalai bahagian pendaftaran dan sambutan ibu bapa. Sambutan daripada ibu bapa untuk sesi kali ini amat memberangsangkan. Lebih seratus pelajar baru tingkatan empat melapor diri. Perkara yang amat tersentuh jiwa Nana sebagai seorang guru dan bapa pada sesi pendaftaran pada sesi ini adalah dua peristiwa yang amat menyedihkan. Pertamanya ialah sikap seorang anak lelaki (murid) yang sanggup membiarkan bapanya menggalas beg pakaiannya yang berat sedangkan dia sendiri berlenggang dengan fail ditangan.Keduanya sikap seorang anak yang sanggup "memaki" ibunya dengan perkataan yang amat kurang sopan pabila siibu bersetuju dengan permintaan Nana untuk memotong rambutnya kerana mewarnakan rambut dengan warna yang pelbagai.Bayangkan siibu dimarahi oleh si anak kerana bersetuju dengan permintaan Nana.Dengan perasaan angkuh si anak terus beredar dari kaunter pendaftaran dan keluar dari kawasan sekolah.Sibapa dan ibu cuba memujuk, ego anak tidak kendur. Yang pasti maki hamun anak kepada ibu bapanya berterusan.... Ya Allah ampunkanlah hambaMu ini, jangan kau jadikan zuriat kami sebegini.Berilah petunjuk kepada kami semua, semoga kami tidak tergolong dalam golongan yang durhaka kepada ibu bapa.

Tuesday, January 12, 2010

Buah yang dinanti dah gugur



Hari ini surat yang Nana hantar ke bahagian Kopetensi pada bulan Jun 2009 lalu dah berbalas. Jawapannya positif. Tapi apa maknanya? Setelah peperiksaan PTK diduduki dan alhamdulillah keputusan juga positif, kini Bahagian kopetensi telah memberi jawapan bahawa Sijil NPQH kita boleh digabungkan dengan peperiksaan PTK yang diduduki di luar sana. Tidak timbul lagi isu ayam dan itik yang tak boleh disatukan.Kepada rakan-rakan yang nak gabungkan keputusan PTK boleh lah mencuba.

Sunday, January 3, 2010

Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah

Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah

** Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin enggan mengulas mengenai isu nama Allah yang telah diputuskan di mahkamah, sebaliknya berikut merupakan artikel lama yang telah ditulis beliau dan dicadangkan untuk pembacaan.



Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata: “Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan.




Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible dalam bahasa melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.

Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.

Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.

Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?

Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).

Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.

Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.

Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan”. Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah”. Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak”.

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,

Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).

Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian,

Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).

Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.

Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.

Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).

Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.

Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!

Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.

Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.

Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3).

Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.

Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sessi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.

Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta..lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?

Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.

Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.

Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.

Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.