Monday, May 3, 2010

Adakah Aku Ketinggalan....

Hari Jumaat lepas, Nana ada membaca catatan Dr Maza, berkenaan filem-filem berunsur Islam dari negara jiran. Nana tertarik untuk menontonnya. Satu-persatu filem yang dinyatakan dalam tulisan beliau Nana telah luangkan masa menontonnya. Yang pasti filem-filem tersebut memang hebat, lebih hebat dari Bukit Kepung dan filem-filem hebat di negara kita sekarang ini.Yang ingin Nana kongsi dengan rakan-rakan ialah salah satu filem yang dinyatakan itu iaitu filem Laskar Pelangi. Filem ini pernah diceritakan oleh Nazrenns (lama benar tak berblog)kepada Nana dalam kelas suatu ketika dulu.Tapi pada masa itu Nana tidak berapa kisah tentangnya. Jadi semalam apabila Nana berkesempatan menonton filem ini, rupanya filem ini penuh dengan nilai. Sarat dengan pengajaran yang amat sesuai untuk ditonton oleh semua golongan. Lebi-lebih lagi sempena Hari Guru minggu depan. Dalam filem ini setiap baris dialog dan lakonannya penuh nilai dan pengajaran kepada penonton yang pelbagai latar belakang.Tontonlah..... amat rugi jika tidak menontonnya.

Wednesday, April 21, 2010

Bila sudah akhir zaman.....

Sejak kematian ahli parlimen Ulu Selangor, ramai bloger politik berkempen untuk memenangkan parti masing-masing.Apa yang nana kesalkan ialah sikap dan adab ketika berkempen. Mereka tanpa segan silu menelanjangkan musuh masing-masing. Kalau begini gerak laku kita bermakna kita sebenarnya mengundang kemurkaan Tuhan. Sewajarnya kita meneliti kisah ini sebelum kita membuka aib orang lain:

Pada zaman Nabi Musa AS, bani Israel ditimpa musim kemarau yang berkepanjangan. Mereka pun berkumpul mendatangi Nabi mereka. Mereka berkata, “Ya Kaliimallah, berdoalah kepada Rabbmu agar Dia menurunkan hujan kepada kami.” Maka berangkatlah Musa AS bersama kaumnya menuju padang pasir yang luas. Waktu itu mereka berjumlah lebih dari 70 ribu orang. Mulailah mereka berdoa dengan keadaan yang lusuh dan penuh debu, haus dan lapar.
Nabi Musa berdoa, “Ilaahi! Asqinaa ghaitsak…. Wansyur `alaina rahmatak… warhamnaa bil athfaal ar rudhdha’… wal bahaaim ar rutta’… wal masyaayikh ar rukka’…..”
Setelah itu langit tetap saja terang benderang, matahari pun bersinar makin kemilau. (maksudnya segumpal awan pun tak jua muncul).
Kemudian Nabi Musa berdoa lagi, “Ilaahi … asqinaa….”
Allah pun berfirman kepada Musa, “Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kalian sedangkan di antara kalian ada seorang hamba yang bermaksiat sejak 40 tahun yang lalu. Umumkanlah di hadapan manusia agar dia berdiri di hadapan kalian semua. Karena dialah, Aku tidak menurunkan hujan untuk kalian.”
Maka Musa pun berteriak di tengah-tengah kaumnya, “Wahai hamba yang bermaksiat kepada Allah sejak 40 tahun, keluarlah ke hadapan kami, karena engkaulah hujan tak kunjung turun.”

Seorang laki-laki menjeling ke kanan dan kiri, maka tak seorang pun yang keluar di hadapan manusia, saat itu pula ia sedar kalau dirinyalah yang dimaksud.
Ia berkata dalam hatinya, “Kalau aku keluar ke hadapan manusia, maka akan terbuka rahsiaku. Kalau aku tidak berterus terang, maka hujan pun tak akan turun.”
Maka hatinya pun gundah gulana, air matanya pun menitis, menyesali perbuatan maksiatnya, sambil berkata , “Ya Allah, Aku telah bermaksiat kepadamu selama 40 tahun, selama itu pula Engkau menutupi `aibku. Sungguh sekarang aku bertaubat kepada Mu, maka terimalah taubatku.”
Tak lama setelah pengakuan taubatnya tersebut, maka awan-awan tebal pun bermunculan, semakin lama semakin tebal menghitam, dan akhirnya turunlah hujan.
Musa pun keheranan, “Ya Allah, Engkau telah turunkan hujan kepada kami, namun tak seorang pun yang keluar di hadapan manusia.” Allah berfirman, “Aku menurunkan hujan kepada kalian oleh sebab hamba yang kerananya hujan tak kunjung turun.”
Musa berkata, “Ya Allah, Tunjukkan padaku hamba yang taat itu.”
Allah berfirman, “Ya Musa, Aku tidak membuka aibnya padahal ia bermaksiat kepada-Ku, apakah Aku membuka aibnya sedangkan ia taat kepada-Ku?!”
***
(Kisah ini dikutip dari buku berjudul “Fii Bathni al-Huut” oleh Syaikh DR. Muhammad Al `Ariifi, hal. 42)

Monday, April 19, 2010

Pemandangan "biasa" pada Jam 2.40pm di sebuah sekolah.



Inilah suasana yang boleh dilihat di sekolah-sekolah tertentu pada waktu petang. Asyik sekali mereka melayan... mimpi.

Sunday, April 18, 2010

Beringat sebelum kena...

Hari ini insyaallah, sahabat saya PKHem akan menjalani pemeriksaan/pembedahan di IJN. Rasanya semua rakyat Malaysia tahu apa penyakitnya jika berubat di tempat ini. Bila dikenangkan kembali apa puncanya sahabat ini berada di sini, katanya ialah makan dan rokok.Dua punca ini penyebab utamanya. Jadi kepada sesiapa yang belum kena, beringatlah, Jangan Merokok.Makan tu jaga-jaga sikit, jangan ikut nafsu semata-mata.

Saturday, March 6, 2010

Cepat sungguh masa berlalu.....


Diam tak tiam... sudah setahun masa berlalu. Setahun lalu pada hari ini ramai perjuang dan pencinta bahasa menunjukkan rasa hati masing-masing tentang cintanya mereka pada Bahasa Melayu. Pada hari inilah nana dan tiga saudara yang lain bersama-sama ribuan rakyat Malaysia yang cintakan bahasanya bersama-sama berkumpul di masjid Negara untuk menyatakan sikap masing-masaing terhadap bahasanya. Pada hari inilah baru nana dapat rasakan betapa "nikmatnya" asap gas pemedih mata yang rupanya secantik dan senyaman awan apabila melintasi kehijauan Genting suatu ketika dulu.... Masihkah kau ingat saudara-saudaraku....

Friday, February 19, 2010

Kuman di seberang laut, nampak tetapi gajah di depan mata ........

Satu tamparan hebat bagi umat Melayu Islam yang bersungguh-sungguh memarahi KM P.Pinang berhubung perarakan Majlis Maulidul rasul. Berbagai kata nista dilemparkan hingga sanggup mencabar beliau mendedahkan minit mesyuarat exco yang sulit itu. Tapi hari ini bila 3 lagi negeri di bawah pimpinan Melayu Islam separti dengan mereka membuat keputusan yang sama.... terkelu lidah mereka agaknya. Setakat posting ini belum dengar lagi gegak gempita "pejuang" agama Melayu Islam ini membantah hasrat kerajaan Pahang, Johor dan Perlis itu. Inilah pejuang hipokrit sebenarnya. Perjuangan berdasarkan asobiah...Perjuangan sebegini adalah perjuangan yang sia-sia. Rugi dan sia-sia sahaja akal dan kesihatan yang Allah kurniakan kepada mereka. Kepada diri ini, Insaflah....kita semua akhirnya akan mati dan dipersoalkan segala nikmat dan apa yang kita kerjakan.

Wednesday, February 17, 2010

Biar mati anak, jangan mati adat.

Jangan terkejut dengan tajuk kali ini. Nukilan kali ini bukan untuk menyokong atau menyanggah sesiapa. Tajuk kali ini hanya ingin mengambarkan sikap orang Melayu pada adatnya. Mereka amat kuat berpegang pada adat hinggakan ada kalanya tidak tahu mana satu syariat mana satu maksiat, mana satu harus mana satu wajib, mana satu sunat mana satu adat. Sebenarnya umat Islam Melayu, ramai yang telah hilang fokus. Apabila kerajaan PP berhasrat menganjurkan Majlis maulud nabi tanpa disertakan acara perarakkan, ramai Melayu Islam di Malaysia yang membantah dengan bersungguh-sungguh. Bantahan dan perasaan tidak berpuas hati ini bukan sahaja diluahkan oleh mereka yang bukan dalam aliran agama sahaja, malah ada dalam kalangan yang berstatus muftipun sanggup terjerat dalam isu ini. Saya mengatakan bahawa ramai Melayu islam di negara kita telah hilang fokus kerana perkara perarakan ini hanyalah perkara yang harus sahaja. Dalam erti kata lain nak buatpun tidak mengapa, jika tidak dianjurkanpun tidak mengapa. Tidak menjadi sebarang kesalahan atau mendapat dosa bagi mereka yang tidak berarak apabila menyambut majlis Maulidul rasul.Tetapi perarakan itu mungkin boleh menjadi haram jika ia melibatkan unsur-unsur maksiat seperti pembaziran dan menyusahkan pelbagai pihak yang tidak terlibat dengan perarakan tersebut. Satu persoalan yang nana fikirkan ialah, kenapa golongan Melayu Islam yang bersungguh-sungguh membantah hasrat kerajaan PP ini tidak pula menunjukkan riaksi dan sikap yang sama apabila ada pihak yang ingin menghalang kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Hudud di negeri mereka. Malah lebih malang lagi ramai dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dalam agama sanggup mencari berbagai dalih untuk menyokong tindakan menghalang hasrat kerajaan Kelantan itu. Bukankah hal hudut ini merupakan perkara "wajib". Tidak ada dalil yang mengatakan hudut merupakan perkara harus yang jika tidak dilaksanakan adalah tidak menjadi satu dosa atau tanggungjawab mana-mana pihak. Nampaknya sekali lagi orang Melayu Islam di negara kita tertipu dengan sikap sesetengah pihak yang mengalih perhatian mereka kepada hal yang tidak penting seperti perarakkan ini. Sepatutnya cerdik pandai agama dan pemimpin masyarakat wajar membawa umat Islam di Malaysia kepada perkara yang lebih penting daripada isu berarak. Nampaknya memang betullah kata pepatah Melayu di atas, orang Melayu lebih sayangkan adat mereka berbanding anak mereka sendiri. Malang sungguh nasib Melayu sebegini. Tidak tahu mana satu yang perlu diutamakan.